KUANTAN: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) antara pembangunan yang dibawa kerajaan Pusat demi membawa perubahan besar kepada negeri di Wilayah Timur, Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek itu bagi memastikan semua negeri dan wilayah dibangunkan secara seimbang tanpa ada ketinggalan dalam menikmati pelbagai bentuk kemajuan.
“Paling terbaharu, bagaimana ECRL akan menjadi limpahan besar untuk negeri Pantai Timur dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ini memperlihatkan kerajaan Madani sangat-sangat kita warnai dari segi menterjemahkan pembangunan.
“Kita harap bukan sahaja kerajaan Kelantan, Terengganu dan Pahang (bekerjasama) tetapi rakyat di ketiga-tiga negeri ini harus bersama-sama mendukung hasrat kerajaan Persekutuan untuk terus bangunkan negeri Pantai Timur ini,” katanya ketika berucap pada Program Madani Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan di sini
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerjasama itu perlu kerana kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan antara wilayah demi kepentingan rakyat di tiga buah negeri itu.
“Kita sama-sama bertekad dengan penyatuan pemikiran, penyatuan hati nurani dan amal untuk kita melaksanakan sesuatu yang menjadi hasrat terbaik kepada kerajaan Persekutuan demi rakyat tiga negeri ini.
“Ini penting kerana kita tidak mahu ada sebuah negeri atau wilayah tertinggal di negeri Pantai Timur ini,” katanya. – UTUSAN










