Durian habis ‘merajuk’ berbuah lebat tahun ini

Durian habis ‘merajuk’ berbuah lebat tahun ini

ISMAIL Ibrahim mengutip durian di dusunnya di Kampung Gajah di Pasir Salak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Selepas ‘merajuk’ disebabkan banjir besar yang melanda pada tahun 2014, pokok durian di Kampung Gajah di sini kembali mengeluarkan buah seperti sebelum bencana yang berlaku 10 tahun lalu.

Buat pertama kali musim ini, durian di sini berbuah lebat dan ini memberikan rezeki tambahan buat pemilik dusun.

Seorang pemilik dusun durian, Ismail Ibrahim, 65, berkata, musim raja buah itu mulai luruh sejak bulan lalu dan dijangka berterusan satu atau dua bulan lagi.

Katanya, lambakan durian di sini menyebabkan kawasan ini didatangi penggemar durian.

“Musim kali ini buah durian lebat, seperti sebelum-sebelum ini. Selepas banjir besar yang melanda kawasan ini pada 2014, banyak pokok durian mati dan rosak ditenggelami banjir.

“Sejak itu, pokok durian di sini seakan-akan ‘merajuk’ apabila tidak lagi menghasilkan buah dan jika ada yang berbuah pun, ia tidaklah lebat seperti sebelumnya.

“Namun musim ini sangat berbeza, pokok durian berbuah lebat, mungkin sudah habis merajuk, pokok sudah pulih daripada kesan banjir 10 tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, kawasan Kampung Gajah sememangnya terkenal dengan durian kampung seperti durian kunyit, durian tupai, durian gantang.

Katanya, pokok durian berbuah lebat dibantu cuaca yang sesuai untuk putik lekat dan membesar sehingga buahnya masak.

“Pada musim durian kali ini, penggemar durian datang dari Selangor, Ipoh dan paling jauh dari Kedah,” katanya.

Menurutnya, dia mewarisi dusun durian seluas hampir empat ekar daripada arwah neneknya dan ada di antara pokok di dusunnya yang berusia hampir 100 tahun.

“Di dusun ini terdapat kira-kira 60 pokok durian kampung .

“Tahun ini pokok durian tidak lagi merajuk, buahnya sangat lebat. Hasil kutipan sehari mencecah 200 kilogram.

“Pelanggan yang datang ke sini bukan sahaja dapat makan buah segar, juga dapat merasai pengalaman mengutip durian yang luruh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×