KEMAMAN: Cuaca panas dijangka menyebabkan pengeluaran durian di negeri ini merosot 40 peratus berbanding tahun lalu sebanyak kira-kira 6,000 tan metrik.
Pengarah Lembaga Pemasran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu, Mohd Fadlee Hassan berkata, cuaca panas terik melanda negeri ini sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, musim durian di negeri ini dijangka bermula minggu hadapan dan ketika ini sudah ada buah yang mulai gugur.
“Kadar air dalam tanah yang berkurangan berikutan cuaca panas ketika musim pokok berbunga menyebabkan bunga buah gugur dan saiz buah juga dijangka lebih kecil berbanding kebiasaan,” katanya kepada pemberita pada Program Kempen Lebihkan Makan Buah-buahan dan Sayur-sayuran tempatan peringkat negeri, di Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang, semalam.
Mohd. Fadlee berkata, kebanyakan buah durian yang dijual di pasaran sebelum ini dari negeri luar termasuk Johor dan Perak.
Malah beliau menjangkakan harga durian di peringkat ladang antara RM7 hingga RM10 sekilogram.
“Saya yakin harga ini adalah harga terbaik untuk petani. Kita akan mengambil langkah membeli buah dari petani sekiranya harga buah durian merosot hingga RM4 sekilogram,” katanya. – UTUSAN









