ROM: Itali kini bergelut dengan gelombang panas ekstrem yang berasal dari Afrika, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan ‘amaran merah’ untuk suhu tinggi di 11 bandarnya, hari ini.
Keadaan itu menyebabkan cuaca panas melampau di ibu negara, Rom dengan suhu direkodkan antara 40 darjah Celsius dan 42 darjah Celsius pada tengah hari.
Kementerian Kesihatan, menyenaraikan tujuh bandar pada tahap ‘merah’, ketika gelombang haba terus meningkat.
Antara bandar yang teruk terkesan adalah Rom, di mana haba memberi kesan yang ketara kepada kehidupan seharian.
Kebanyakan pengunjung bandar bersejarah itu menggunakan payung untuk melindungi diri mereka daripada terik matahari, termasuk ada yang mengambil kesempatan menyejukkan diri di kawasan air pancut Barcaccia di hadapan Spanish Steps.
Susulan cuaca ekstrem itu, pihak berkuasa memasang kipas besar dan khemah mudah alih di tapak pelancongan popular, termasuk di Colosseum bersejarah.
Kementerian Kesihatan juga memperluaskan amaran ‘merah’ untuk menyenaraikan empat bandar tambahan pada Jumaat, menjadikan keseluruhan 11 bandar di bawah amaran berisiko tinggi.
Ia termasuk Rom, Florence, Bologna, Campobasso, Frosinone, Latina, Perugia, Pescara, Rieti, Trieste dan Viterbo.- ANADOLU











