'Cium Hajar Aswad sangat mudah, bila keluar dihimpit jutaan manusia' - Razak - Utusan Malaysia

‘Cium Hajar Aswad sangat mudah, bila keluar dihimpit jutaan manusia’ – Razak

RAZAK Daud tidak akan melupakan pengalamannya dapat mencium batu Hajar Aswad ketika menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Mekah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peneroka Felda Jengka 24 di sini tidak akan melupakan detik dia dapat mencium batu Hajar Aswad di Tanah Suci Mekah kerana ia pengalaman cukup bermakna dalam hidupnya.

Berkongsi detik itu, peneroka berkenaan, Razak Daud berkata, tiga hari berturut-turut dia pergi untuk mencium Hajar Aswad namun gagal kerana terlalu sesak dengan jutaan manusia.

“Hari keempat lebih kurang pukul 2 pagi saya sekali lagi beratur dan alhamdulillah dimakbulkan Allah SWT, tidak sampai 15 minit sudah dapat mencium Hajar Aswad dengan mudah tanpa perlu menolak dan berasak dengan orang lain.

“Tetapi, semasa nak keluar saya tersepit akibat dihimpit jutaan manusia. Saya ketika itu sukar bernafas dan menjerit Allahuakbar sekuat hati. Dengan takdir Allah SWT, seorang warga Afrika berbadan besar dan berkulit gelap menarik saya dan meminta maaf kerana turut menghimpit saya.

“Apa-apa pun daripada jutaan manusia yang berada di situ, saya ditakdirkan oleh Allah SWat mencium Hajar Aswad. Walaupun ia tidak wajib, ia menjadi buruan jemaah haji seolah-olah ia kemuncak dalam menunaikan ibadah berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Razak berkata, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kejadian dia dihimpit jutaan manusia berlaku hanya 10 minit.

“Saya tidak tahu jika lebih lama saya dihimpit, mungkin saya tidak boleh bernafas kerana orang terlalu ramai. Ini pengalaman yang saya tidak akan lupa,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara ajaib selepas mencium Hajar Aswad adalah dirinya terasa cukup tenang dan seronok yang tidak dapat digambarkan dan diceritakan kenikmatannya.

“Patutlah semua orang dari seluruh dunia berlumba-lumba untuk menciumnya, ada kelainan yang dapat dirasai yang hanya Allah SWT mengetahuinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN