ALOR SETAR: Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) perlu memikirkan kaedah berkesan sekiranya berhasrat menyatukan pekebun-pekebun kecil getah mengikut kluster antara 500 ke 1,000 hektar di negara ini.
Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) serta Lembaga Getah Malaysia (LGM) pula wajar mengadakan perjumpaan dengan pekebun dan persatuan untuk berbincang penyatuan itu di peringkat mukim.
“Ini kerana, tidak ada dalam sekeping tanah, kebun getah bercantum sehingga mencapai keluasan 500 hektar apatah lagi 1,000 hektar. Pekebun ini ada di merata-rata, jadi kena fikir dahulu kerjasama kukuh melalui gabungan itu yang mungkin boleh diadakan di setiap mukim berbanding kampung.
“Pergetah amat bersetuju dengan model konsolidasi atau penyatuan pekebun-pekebun ini tapi gabungan ini kena ada persefahaman antara pekebun dan pemilik. Nak capai keluasan sehingga jumlah itu di sesuatu tempat agak susah sebab di satu kampung misalnya ada dua hektar atau paling banyak 10 hektar sahaja.
“Bagaimana konsep yang nak digabungkan itu, gabungan yang terikat satu lot tanah sudah tentu sukar kerana akan timbul masalah pengurusan yang turut melibatkan kos berbanding ladang getah yang luas sehingga 500 ke 1,000 hektar kerana kebun kecil agak rumit,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang antaranya model konsolidasi itu dapat meningkatkan kapasiti, mengurangkan kos selain dipercayai mampu menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.
Mohd. Taufik berkata, isu yang menyebabkan kebun getah terbiar termasuk 24,058 hektar di negeri ini amat berkait rapat dengan faktor harga, tenaga kerja dan minat anak-anak muda tempatan dalam komoditi itu.
Beliau berkata, Malaysia pernah berada di tangga kedua sebagai negara pengeluar getah terbesar dunia tetapi kini sudah jatuh ke tangga keenam disebabkan faktor-faktor itu menjadikan semakin banyak kebun getah tidak tertoreh.
“Isu kebun getah di Kedah dan negeri-negeri lain tersadai kerana harganya begitu rendah sehingga pernah menjunam teruk ke paras bawah RM3 per kilogram (kg). Faktor itu tidak menggalakkan orang menoreh kerana kos lebih mahal daripada hasil.
“Kena ada jaminan untuk harga kekal dalam tempoh panjang, sekarang ini orang mula minat kembali ke kebun setelah harga cecah RM4 per kg tetapi adakah keadaan ini akan berterusan jika harga kembali turun kepada RM3 bulan depan atau RM2 pada bulan seterusnya,” katanya.
Katanya, agensi-agensi bertanggungjawab itu pada masa sama juga perlu memikirkan penggunaan teknologi seperti di Thailand yang mana getah di negara itu mampu ditoreh ketika musim hujan berbanding apa yang berlaku di negara ini.
“Kita dalam setahun hanya empat bulan dapat menoreh, baki lapan bulan penoreh duduk termenung kerana faktor hujan dan kemarau,” katanya. – UTUSAN











