KUALA LUMPUR: Penyertaan Malaysia ke dalam kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) diyakini memberi kekuatan baharu kepada negara memandangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan itu mencecah AS$26.6 trilion (RM125.23 trilion)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu bersamaan 26.2 peratus daripada KDNK dunia sekali gus membuka ‘jalur’ baharu yang memberi manfaat kepada syarikat-syarikat dan ekonomi di Malaysia.
“Malaysia adalah negara perdagangan dan perdagangan itu harus membina rangkaian supaya kita dapat membantu rakyat dan negara dari sudut pelaburan dan perdagangan.
“Maka, selain hubungan kerjasama dilakukan sekarang yang menampakkan hasil, ada kebijaksanaan untuk kita membuka ruang baharu terutama dalam konteks agenda selatan global kerana ini telah menunjukkan kesediaan negara untuk bangkit mempertahankan kepentingan kawasan yang tidak hanya terikat kepada satu kekuatan ekonomi.
“Sebab itu, BRICS telah menunjukkan kesediaan negara-negaranya dan beberapa negara baharu yang bersama dan kita negara ASEAN juga menunjukkan minat. Malaysia juga menjurus ke arah yang sama,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Howard Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) mengenai dasar dan hala tuju Malaysia susulan hasrat Malaysia menyertai BRICS dan bagaimana penyertaan itu akan membantu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara-negara BRICS.
Pada 18 Jun lalu, Anwar mengesahkan sudah menyatakan hasrat untuk Malaysia menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pada masa Malaysia memohon menyertai BRICS, kerajaan akan memperkuat dan terus menjaga hubungan kerjasama dalam Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Indo Pasifik.
Selain itu, katanya, Malaysia sedang mengkaji bersama negara jiran seperti Thailand dan Indonesia untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)
“Ini semua akan memberi jalur baharu atau memperkuat jalur yang sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mahu rundingan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamad dengan kerajaan dan mengelak sebarang rundingan dijalankan secara berasingan.
Beliau berkata, ia tidak seharusnya menjadi isu rumit memandangkan syarat ditetapkan kepada ahli Parlimen pembangkang yang mahu mendapatkan peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa.
“Saya tidak faham mengapa proses ini jadi rumit. Tentang tarikh, syarat, itu proses biasa dalam mana-mana proses demokrasi. Sekali lagi dan berulang kali saya sebut kesediaan kita, tapi biar ikut proses dalam amalan Parlimen.
“Parameter tidak susah. Tetapi, sebab ada sikap kurang positif, tidak ada rasa rendah diri, agak kompleks untuk menemui Perdana Menteri di pejabat Perdana Menteri dan bincang,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang), kata Anwar, beliau sudah memberi mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi mewakili kerajaan dalam rundingan berkenaan.
“Walaupun saya terus diserang, kata kita zalim, semua proses peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang di semua negara demokrasi mesti mengikut prosesnya. Rundingan dan saya beri mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan.
“Tiada syarat mesti sokong Perdana Menteri, tidak ada syarat itu. Saya tidak pernah kenakan syarat itu. Seperti kami lakukan ketika Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) jadi Perdana Menteri, juga diwakili oleh kedua-dua pihak (wakil kerajaan dan pembangkang),” katanya.
Pada Mei lalu, Fadillah dilaporkan berkata, draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sedang dimuktamad, antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangun dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat. – UTUSAN










