KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan kekal menggunakan simbol bulan yang juga logo Pas dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 17 Ogos ini.
Pengerusinya Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, tindakan itu sebagaimana yang telah dilakukan semasa Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN-15) lalu.
“Kita telah sepakat dan bersetuju untuk menggunakan logo Pas untuk PRK DUN Nenggiri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Online sebelum ini melaporkan, Pas Kelantan melihat simbol bulan lebih sesuai digunakan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata, perkara tersebut telah terbukti berkesan apabila PN meraih kemenangan besar di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) lalu.
Pada 13 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Ia selepas beliau menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Bersatu mengenai pengguguran keahlian bekas ADUN Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim daripada Bersatu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.-UTUSAN










