BAGAN SERAI: Pesawah di sini semakin tertekan akibat pengairan dihentikan ke sawah mereka berikutan paras air Tasik Bukit Merah semakin cetek dan merayu bantuan segera diberikan.
Seorang Ketua Unit Peladang di sini, Muslan Napiah, 49, berkata, kebanyakan pesawah baru sahaja menanam padi yang kini berusia antara 14 hingga 30 hari.
Menurutnya, jika air tidak segera dibekalkan, anak padi yang baru ditanam akan mengalami masalah untuk membesar.
“Kebanyakan tanah sawah di Kerian kini kering kontang dan tanah sawah merekah akibat ketiadaan air selepas pengairan dihentikan sejak 28 Jun lalu.
“Pertumbuhan tanaman padi yang baru ditanam akan terbantut dan keadaan ini akan menyebabkan pesawah mengalami kerugian.
“Kami berharap pihak yang berkenaan dapat melihat masalah kami dan membantu menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak, Datuk Sham Mat Sahat, berkata, dalam mesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan baru-baru ini memutuskan untuk membuat pembenihan awan dalam masa terdekat bagi memulihkan paras air di Tasik Bukit Merah.
Menurutnya, selain itu beliau turut meminta pesawah mencarum Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) bagi membolehkan pesawah yang berdepan masalah padi disenaraikan dalam kategori bencana alam yang menjejaskan tanaman supaya mendapat perhatian daripada kerajaan.
“Skim berkenaan belum lagi dilaksanakan dan dijangka dirasmikan pada Oktober nanti, bagaimanapun apa yang berlaku pada hari ini di sini akan turut diambil kira,” katanya.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian menghentikan pengairan ke sawah beberapa kawasan di sini pada 28 Jun lalu selepas paras air Tasik Bukit Merah surut berikutan cuaca panas.
Kolam Bukit Merah merupakan sumber utama air bagi kegunaan domestik dan pertanian terutama sawah di Kerian serta kegunaan perindustrian di Taiping. – UTUSAN








