Bekas pengurus hotel ketakutan, halaman rumah dibakar along

Bekas pengurus hotel ketakutan, halaman rumah dibakar along

ZHI WEI (tengah) menunjukkan gambar kejadian kebakaran halaman rumah bapanya di Grisek, Ledang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pengurus sebuah hotel di Singapura hidup dalam ketakutan apabila halaman rumah bapanya di Grisek, Ledang dibakar ceti haram atau along yang menuntut pampasan dengan alasan tidak masuk akal.

Mangsa, Zhi Wei, 42, yang mengakui pernah membuat pinjaman khuatir tentang keselamatan ahli keluarganya, susulan tindakan agresif along berkenaan, namun dia sedikit lega apabila tiada yang cedera dalam kejadian pada 8 Julai lalu.

“Saya tidak sangka akan menjadi buruan ceti haram yang bukan mahu menuntut hutang, sebaliknya menuntut pampasan atas alasan tidak masuk akal. Sebelum ini, saya ada meminjam SG$300 (RM1,044) daripada along bagi menampung perbelanjaan selepas membantu ahli keluarga yang berdepan masalah kewangan pada April lalu, namun hutang itu telah dilunaskan,” katanya ketika membuat aduan kepada Pegawai Aduan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Mok Meng Haw, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zhi Wei yang belum berkahwin turut membuat pinjaman SG$500 (RM1,741) daripada ceti haram lain dan melunaskan pinjaman itu dengan membayar balik SG$600 (RM2,089) dalam masa kurang sebulan.

Dia kemudian dihubungi oleh ceti haram pertama yang mendakwa akaun bank mereka dibekukan selepas dia melakukan transaksi pembayaran.

“Mereka minta SG$11,000 (RM38,305) sebagai pampasan sebelum along kedua membantu dengan berbincang dan mengurangkan nilai ganti rugi kepada SG$5,500 (RM19,152).

“Saya tidak fikir panjang dan sekali lagi meminjam daripada ceti haram kedua bagi elak diganggu. Saya lega kerana tidak dibebani hutang lagi dengan membayar wang itu hasil menjual pakej pelaburan di syarikat insurans,” katanya.

Jangkaan Zhi Wei masalahnya dengan along sudah berakhir meleset apabila dia diminta untuk membayar pula pampasan kerana pengutip hutang berkenaan ditahan polis.

“Mungkin mereka reka cerita sebagai alasan untuk mendapatkan bayaran pampasan SG$10,000 (RM35,000) secara mudah. Apabila kehendak mereka tidak dituruti, mereka membakar halaman rumah bapa saya di Grisek.

“Mereka juga ugut mahu ancam keselamatan kami walaupun mereka tahu saya tiada wang untuk bayar kerana sudah hilang kerja,” katanya yang diberhentikan kerja selepas along berkenaan menimbulkan gangguan di tempat kerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×