Bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati, dipenjara 40 tahun - Utusan Malaysia

Bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati, dipenjara 40 tahun

D. KALAISELVAN terlepas hukuman gantung yang diganti dengan penjara 40 tahun oleh Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Johor Bahru hari ini mengetepikan hukuman gantung terhadap bekas pengawal keselamatan, D. Kalaiselvan, 59, yang didapati bersalah membunuh remaja perempuan berusia 16 tahun pada 2011.

Keputusan itu dibuat panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.

Kalaiselvan dijatuhi hukuman penjara 40 tahun di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bermula tarikh dia ditangkap pada 3 Julai 2011.

Berdasarkan fakta kes, dia didapati bersalah membunuh anak kawannya, Nur Rahayu Qomarudin, 16, di Ladang Kelapa Sawit Sungai Masai, dekat sini antara pukul 2.30 hingga 2.50 pagi pada 18 Jun 2011.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmad Fauzi memohon mahkamah mengekalkan hukuman gantung sampai mati kerana mangsa diperlakukan dengan kejam dalam kes berkenaan.

“Mangsa hanya berusia 16 tahun dan tiada sebab untuk dibunuh. Mangsa bukan hanya dipukul, malah turut ditikam pada bahagian leher dan dibakar dengan tulangnya turut dipotong,” katanya.

Namun, peguam bela Kalaiselvan, Datin Kharen Jit Kaur berkata, tiada bukti kukuh pemohon yang melakukan perbuatan tersebut kerana terdapat seorang lagi rakan pelaku yang masih bebas dengan keterangannya tidak diambil.

Tengku Maimun dan pamel hakim kemudian menggantikan hukuman mati tersebut dengan hukuman penjara.

“Hukuman mati diketepikan dan digantikan dengan penjara selama 40 tahun bermula tarikh tangkapan pada 3 Julai 2011,” katanya.

Terdahulu, pemohon dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 Disember 2012 sebelum rayuannya turut ditolak Mahkamah Rayuan pada 18 Mac 2014 dan Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya pada 25 Ogos 2015 turut mengekalkan hukuman mati itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN