PASIR MAS: Masalah bekalan air yang tidak mencukupi ketika ini menyebabkan pesawah di sekitar kawasan Binjal, Bunut Susu di sini tidak dapat memulakan kerja-kerja menanam padi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Unit Kubang Bunut, Abdul Halim Abu Bakar, 72, berkata, sepatutnya kerja-kerja membajak petak-petak sawah dilakukan pada bulan lalu namun terpaksa ditangguhkan akibat kekurangan air.
“Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) melaksanakan kerja-kerja pembenihan awan, Alhamdulillah sebanyak dua kali hujan di kawasan ini.
“Walaupun air sudah memasuki petak sawah, namun ia masih belum sesuai untuk melakukan kerja membajak sekali gus memulakan tanaman padi. Besar harapan kami agar pembenihan awan ini dapat dilakukan sekali lagi,” katanya ditemui semalam.
Seorang lagi pesawah, Ismail Mat Yusof, 49, mengakui hujan sejak beberapa hari lalu tidak banyak membantu menyelesaikan masalah sawah yang kontang akibat kemarau sebelum ini.
Katanya, walaupun sudah melakukan kerja-kerja membajak pada Jun lalu namun kerja-kerja menanam padi tidak dapat dilaksanakan akibat masalah air.
“Sampai sekarang benih padi belum ditabur lagi. Jika masalah ini berterusan, berkemungkinan besar saya terpaksa menangguhkan kerja-kerja menanam padi untuk musim ini.
“Hal ini kerana jika lewat, besar kemungkinan kami akan berdepan kerugian akibat banjir,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi KADA, Muhammad Husain mengakui rumah pam di Kemubu 1 dan 2 masih belum dapat beroperasi kerana paras air Sungai Kelantan belum mencukupi untuk menggerakan kemudahan itu.
Katanya, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama kerajaan negeri telah menyediakan 150 unit tube well yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – UTUSAN









