KUANTAN: Beberapa individu didakwa ditahan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) kerana menceroboh tanah kerajaan negeri di Kampung Kawah, Jalan Sungai Lembing di sini.
Sumber memaklumkan, pihak berkuasa terbabit dikatakan turut menyita beberapa jentera digunakan seperti traktor untuk menceroboh tanah yang ditanam kelapa sawit tersebut.
“Isu tanah kerajaan diceroboh dengan penanaman kelapa sawit oleh pihak tidak bertanggungjawab bukan baharu sebaliknya sudah lama berlaku di Kampung Kawah.
“Aduan tentang perkara itu kerap kali dibuat kepada pihak berwajib sehinggalah tangkapan dan sitaan dibuat hari ini.
“Ia bukti memang berlaku pencerobohan tanah kerajaan negeri di kampung itu didalangi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya di sini.
Baru-baru ini, media melaporkan, dua individu dipercayai dari Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) yang menyamar sebagai badan berkanun kerajaan Pahang ditahan dalam satu operasi di Kampung Kawah.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, pertubuhan itu disyaki meneroka tanah tersebut secara haram dan turut mendakwa seolah mempunyai kuasa daripada kerajaan negeri untuk mengaburi pihak kontraktor dan operator.
Ekoran itu, PPNP menafikan perkara itu dan mendakwa laporan dibuat sebagai tidak benar dan mengelirukan masyarakat serta berniat untuk memburukan nama PPNP
Kenyataan disiarkan sebuah portal berita itu juga didakwa tidak disahkan dan dipastikan sumbernya serta dibuat berdasarkan laporan dan andaian sebelah pihak sahaja.
Isu pencerobohan tanah kerajaan negeri banyak berlaku dan dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebelum ini dilaporkan berkata, semakannya mendapati lebih 160,000 hektar tanah kerajaan didakwa diteroka di seluruh Pahang.
Sumber memaklumkan, tangkapan terbaru itu membuktikan pencerobohan di Kampung Kawah tidak kaitan dengan PPNP.
“Dakwaan sebelum ini bertujuan memburukkan nama pertubuhan itu yang kini bergiat aktif menangani isu penceroboh tanah secara haram yang menyebabkan kerajaan negeri Pahang ketirisan hasil yang sepatutnya dinikmati rakyat negeri ini,” kata sumber berkenaan. – UTUSAN










