JOHOR BAHRU: Beberapa siri tangkapan pengikut ajaran dan fahaman sesat termasuk kumpulan pengganas Islamic State (IS) dan Daesh di negeri ini tidak bermakna negeri ini dalam keadaan bahaya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, tangkapan tersebut perlu dilihat dari aspek yang positif, iaitu menunjukkan pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab dengan baik serta telah berjaya mengenal pasti pengikut ajaran dan fahaman sesat daripada terus mengembangkan fahaman itu di negeri ini.
“Ini menunjukkan kesungguhan agensi penguatkuasaan kita dalam mengenal pasti individu dan sekecil manapun peranan mereka. Jika mereka terlibat dalam perbuatan jenayah atau ajaran sesat, kita tidak kira siapa, kita akan tangkap.
“Jika banyak tangkapan, saya gembira kerana bermaksud kita berjaya kenal pasti berbanding jika sedikit tangkapan tetapi bermaksud masih ramai ada di luar. Saya juga mahu masyarakat lihat perkara ini dari aspek positif.
“Banyak tidak bermaksud negeri Johor dalam bahaya, manakala sikit pula tidak bermaksud kita dalam keadaan selesa, itu bukan garis panduan tepat,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Savannah Hill Resort, di sini hari ini.
Mohd. Fared yakin semua fahaman dan ajaran sesat yang dikenal pasti di negara ini telah difatwakan haram.
“Pengikut mereka mungkin kekal ada tetapi soalnya adakah aktif atau tidak. Jika kita kesan mereka mengamalkan dan menyebarkan fahaman itu, kita akan ambil tindakan.
“Semua ajaran sesat kita pantau, sejak tahun 80-an lagi banyak telah kita fatwakan sesat dan haram,” tegasnya.
Sejak kejadian serangan yang mengorbankan dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram Julai lalu, beberapa siri tangkapan telah dibuat membabitkan pengikut fahaman dan ajaran sesat di negeri ini. – UTUSAN









