Bank Islam-Waqaf An-Nur jalin kerjasama bantu usahawan mikro - Utusan Malaysia

Bank Islam-Waqaf An-Nur jalin kerjasama bantu usahawan mikro

MOHD. BAHRIN Bakori@Bakri (dua dari kiri) menyampai replika cek kepada Muazzam Mohamed sambil diperhatikan oleh Zamri Norani (kiri) di Hotel DoubleTree by Hilton, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peneraju kewangan sosial, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memeterai perjanjian kerjasama dengan Waqaf An-Nur Corporation Berhad

(Waqaf An-Nur) bagi memperluaskan sokongan kepada golongan usahawan mikro di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, menerusi usahasama strategik itu, Waqaf An-Nur menyalurkan sumbangan daripada manfaat wakaf korporat berjumlah RM120,000 kepada Sadaqa House Bank Islam.

Sumbangan tersebut sebagai dana berputar bagi menawarkan pembiayaan mikro iTEKAD kepada usahawan mikro untuk membantu menjana pendapatan mapan dan daya tahan kewangan perusahaan dalam mendepani cabaran semasa.

“Suntikan dana daripada Waqaf An-Nur kepada model kewangan islam Bank Islam memberi peluang peningkatan mobiliti dan kapasiti usahawan mikro dalam mengembangkan perniagaan dengan pembiayaan iTEKAD, sekali gus berupaya memperluaskan lagi usaha kewangan inklusif kepada golongan usahawan mikro masyarakat rentan yang tidak dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan,” katanya pada Majlis Kerjasama Program Pembangunan Usahawan iTEKAD antara Waqaf An-Nur dan Bank Islam di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Waqaf An-Nur, Bahrin Bakri;  Pengurus Besar Divisyen Pembangunan Ummah Waqaf An-Nur, Zamri Norani dan Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd. Nazri Chik.

Mengulas lanjut, Mohd. Muazzam berkata, Sadaqa House merupakan pemacu kewangan sosial Bank Islam yang diiktiraf di peringkat global dan diamanahkan untuk menerajui inisiatif kewangan sosial termasuk program pembiayaan mikro iTEKAD BangKIT dan iTEKAD Maju.

Jelasnya, model dana berputar itu membolehkan lebih ramai usahawan mikro disantuni berbanding pemberian geran perniagaan. Usahawan yang dikenal pasti boleh menerima Pembiayaan Mikro iTEKAD BangKIT sehingga RM20,000 pada kadar 0 peratus (qardhul hasan).

“Dana ini akan dimanfaatkan bagi modal kerja dan perbelanjaan perniagaan usahawan yang mengambil bahagian dalam program iTEKAD, selain meningkatkan pengetahuan mereka menerusi program-program pengurusan kewangan dan perniagaan yang dijalankan,” katanya.

Program tersebut menyediakan pembiayaan dan geran serta dilengkapi dengan bimbingan keusahawanan berterusan bagi memastikan peserta yang layak mendapat bimbingan komprehensif dan mampu menjana pendapatan mapan. 

“iTEKAD BangKIT dan iTEKAD Maju bermatlamat memperkasakan komuniti usahawan asnaf dan B40, mencerminkan dedikasi Bank Islam terhadap pembangunan ekonomi yang bersifat inklusif. Hingga kini, lebih 1,200 usahawan kecil telah mendapat manfaat dengan pengeluaran lebih RM25 juta sejak mula diperkenalkan pada 2020,” katanya.

Pada majlis sama, Bank Islam turut menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM120,000 kepada tujuh institusi pengajian tinggi awam di Johor, iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ( UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang dan Segamat, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN