KUANTAN: Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) kini sudah 70 peratus menghampiri standard dunia daripada segi kemudahan dan kemampuan disediakan.
Pemangku Pengarah AMSAS, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, akademi itu mensasarkan menjadi pusat latihan maritim bertaraf dunia menjelang 2040.
Selain itu katanya, pihaknya dalam perancangan menjadikan AMSAS pusat latihan bagi negara-negara Asia Tenggara.
“Setakat ini kita sudah 70 peratus menghampiri standard dunia terutama daripada segi kemahiran dan kemampuan.
“Yang tinggal cuma perlu memantapkan lagi daripada segi infrastruktur selain mengekalkan momentum sedia ada,” katanya katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Bersama Media Maritim Negeri Pahang dan AMSAS di Lapang Sasar Tertutup AMSAS di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 19 pengamal media dari pelbagai agensi di negeri ini diberikan peluang merasai pengalaman menembak menggunakan senjata api kecil.
Haris Fadzillah berkata, berdasarkan kualiti latihan dan fasiliti terbaik yang dimiliki oleh AMSAS, pusat latihan terbabit sudah pun menerima pelbagai pengiktirafan.
“Antaranya pensijilan MS ISO 9001:2015 dalam skop menyediakan latihan penguatkuasaan maritim dan operasi mencari dan menyelamat kepada peminta khidmat dari Jabatan Standard Malaysia (JSM) serta pengiktirafan sebagai Institusi Latihan di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” ujarnya.
Sementara itu, sebanyak 38 kes tangkapan pelbagai kesalahan berjaya dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dalam tempoh 2022 sehingga Jun lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, jumlah terbabit daripada pelaksanaan 17,925 pemeriksaan terhadap kapal dan bot di perairan negeri ini.
Katanya lagi, dalam tempoh sama, sebanyak 37 operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan dengan satu ditemukan meninggal dunia dan enam hilang.
“Yang terbaru membabitkan nelayan yang dikhuatiri terjatuh daripada bot nelayan tempatan di perairan Pulau Tioman itu, kita masih belum mendapat apa-apa petunjuk dan semalam tamatkan operasi mencari dan menyelamat kerana sudah pun melebihi tempoh pencarian.
“Sekiranya ada petunjuk baharu, kita akan buka semula operasi terbabit. Begitu juga kes yang masih hilang,” katanya. – UTUSAN










