Agong mahu tindakan tegas tangani salah guna media sosial

Agong mahu tindakan tegas tangani salah guna media sosial

FAHMI Fadzil dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, semalam. – FACEBOOK FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Komunikasi (KK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak tegas menangani masalah berkaitan salah guna media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Sultan Ibrahim menitahkan perkara itu ketika beliau hadir dalam sesi menghadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pagi semalam.

Ia bertujuan bagi menyembah maklum acara-acara yang akan dijalankan sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Ba­ginda pada 20 Julai ini.

Katanya, pada sesi itu, beliau turut menyembah maklum kepada Sultan Ibrahim berhubung kes wanita yang juga pempengaruh media sosial didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia, Selangor, baru-baru ini.

“Selepas semua perkara formal itu selesai (ketika sesi menghadap) Tuanku bertitah mengenai kerisauan Seri Paduka Baginda tentang ‘masalah’ berkaitan media sosial.

“Tuanku titahkan Menteri Komunikasi dan MCMC mesti mengambil tindakan yang sangat tegas, jadi Tuanku sangat prihatin,” katanya dalam sesi bersama media di bangunan Parlimen, semalam.

Katanya, Sultan Ibrahim mengulangi titah dengan mesej yang sama iaitu tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

“Kementerian bersama agensi-agensi lain akan memperkasa segala usaha menjadikan media sosial sebagai platform yang selamat untuk diguna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN