JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang tertuduh wanita yang merupakan ahli keluarga penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Mei lalu mendapatkan rawatan di hospital kerana didapati mengalami simptom kemurungan.
Hakim Rasidah Roslee membuat keputusan itu selepas peguam bela yang mewakili kelima-lima tertuduh, Faizal Rahman membuat permohonan supaya tertuduh kelima, Mariah Radin Imran, 19, dirujuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Beliau memaklumkan mahkamah bahawa Mariah dikesan mempunyai tanda-tanda kemurungan ketika bertemu anak guamnya itu yang ditahan di Penjara Simpang Renggam.
“Saya mohon mahkamah untuk merujuk Mariah ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut segera berikutan tanda-tanda kemurungan yang dikesan ketika bertemunya akhir Jun lalu,” katanya pada prosiding sebutan semula kes itu, hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik tidak membantah permohonan itu dan bersetuju supaya Jabatan Penjara mengambil tindakan yang sewajarnya.
Fazeedah turut memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula baharu susulan laporan pakar keganasan masih belum dilengkapkan.
Hakim menetapkan 2 September depan sebagai tarikh baharu sebutan semula kes itu bagi mendapatkan laporan pakar keganasan sebelum kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Terdahulu, kelima-lima tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada pukul 8.35 pagi dengan kawalan ketat oleh kira-kira 20 anggota polis.
Mereka terdiri daripada bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, Radin Imran Radin Mohd. Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura serta tiga adik beradik suspek yang ditembak mati pada 17 Mei lalu, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah.
Pada 19 Jun lalu, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini atas sembilan pertuduhan berasingan termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Dalam insiden pukul 2.54 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis terbunuh dan seorang cedera ditembak dan ditetak seorang pemuda berusia 21 tahun yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru. – UTUSAN










