KOTA BHARU: Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menyerahkan kepada pemimpin lain termasuk cawangan untuk memberikan reaksi berkait kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Marang sebaliknya berkata, beliau enggan memberikan sebarang komen terhadap perkara tersebut.
“Biar orang lain jawab, orang cawangan pun boleh jawab,” katanya secara ringkas kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Kelantan Membangun Bersama Islam Internasional Conference 2024 (KelMIC 2024) di sini sebentar tadi.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Utusan Online sebelum ini melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi secara lantang menolak kerjasama parti itu dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi presidennya.
Beliau berkata, kerjasama dengan parti itu tidak akan terjadi sama sekali susulan sejarah yang dilalui sebelum ini di mana sikap pimpinan tertinggi Pas yang kerap berbohong.-UTUSAN










