PETALING JAYA: Sebanyak 38 makmal seluruh negara menerima penganugerahan status Makmal BioNexus Partners (BNP) Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, penganugerahan tersebut meliputi 20 institusi pengajian tinggi, 10 institusi penyelidikan, lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tiga makmal swasta.
Katanya, dengan penerimaan status tersebut, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bioteknologi serta berasaskan bio diberi sokongan dan bimbingan dalam penyelidikan produk baharu, penambahbaikan produk sedia ada, serta analisis dan pengkomersialan produk.
“Makmal-makmal BNP juga diberi pelbagai akreditasi antarabangsa dan tempatan termasuk Amalan Makmal Baik (GLP), HACCP, Amalan Pembuatan Baik (GMP) dan lain-lain untuk memastikan kebolehpercayaan dan kredibiliti produk yang dihasilkan.
“Ini memudahkan penerimaan produk di pasaran tempatan dan global serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti produk bioteknologi dan berasaskan bio Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohammad Yusof berkata, sebagai tanda kejayaan makmal BNP, sebanyak 147 produk telah ditambah nilai melalui Program Pembangunan Produk (PDP) yang dilaksanakan oleh Bioeconomy Corporation dengan kerjasama makmal-makmal BNP dari tahun 2020 hingga 2023.
“Di bawah program ini, makmal BNP telah membantu usahawan bioteknologi dan berasaskan bio dalam penyelidikan, pembangunan, analisis, dan persijilan produk.
“Pihak Mosti percaya bahawa makmal BNP dapat merealisasikan aspirasi Sains, Teknologi, Inivasi (STI) negara dengan melahirkan lebih ramai usahawan serta penyelidik yang memacu industri bioteknologi dan berasaskan bio serta mengukuhkan reputasi dan daya saing inovasi Malaysia di mata dunia.
“Ini membantu negara mencapai kedudukan antara 30 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025 dan menyokong MOSTI untuk mencapai peratusan Perbelanjaan Dalam Negara Kasar untuk R&D (GERD) sebanyak 3.5 peratus menjelang 2030 seperti yang ditetapkan dalam Ekonomi Madani,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Bioeconomy Corporation, Datuk Dr. Lee Boon Chye berkata, makmal BNP memberikan sumbangan yang penting dalam pelbagai aspek keusahawanan seperti latihan teknikal dan pensijilan melalui program-program di bawah Bioeconomy Corporation.
Menurutnya, makmal BNP telah membimbing hampir 800 usahawan untuk menjalani latihan teknikal, pemindahan teknologi dan pengenalan dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui program Entrepreneur Uplift, di samping memberi kesedaran mengenai pensijilan Halal Malaysia dari tahun 2020 sehingga 2023.











