ABUJA: Sebuah sekolah dua tingkat di tengah Nigeria runtuh pada Jumaat membunuh sekurang-kurangnya 21 orang, yang kebanyakannya adalah pelajar.
Ibu bapa berusaha mencari anak mereka di Saint Academy di daerah Jos North, negeri Plateau selepas bangunan itu runtuh menimpa pelajar yang sedang menduduki peperiksaan.
“Sebuah bangunan dua tingkat menempatkan Saint Academy… di Busa Buji di Jos North runtuh pagi Jumaat mengorbankan beberapa pelajar,” kata Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) dalam satu kenyataan.
Menurut NEMA, pihak berkepentingan penting lain giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
Jurucakap Palang Merah, Nuruddeen Hussain Magaji berkata, terdapat 21 mangsa maut, manakala 69 yang lain cedera dan kini dirawat di hospital.
Terdahulu, AFP melaporkan melihat 16 mayat di dua bilik mayat hospital di Jos, semuanya memakai pakaian seragam sekolah.
Pihak berkuasa tidak memberikan angka yang tepat, tetapi seorang penduduk di tempat kejadian, Chika Obioha memberitahu AFP bahawa sekurang-kurangnya lapan maut dan puluhan yang lain cedera.
Punca runtuhan masih belum diketahui, tetapi penduduk berkata kejadian berlaku selepas tiga hari hujan lebat di Plateau.
Runtuhan bangunan adalah insiden biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika kerana penguatkuasaan piawaian bangunan yang lemah, kecuaian dan penggunaan bahan berkualiti rendah.- AFP










