PETALING JAYA: Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) berharap liputan media khususnya dalam Utusan Malaysia berhubung program bantuan yang dilaksanakannya dapat sampai ke pengetahuan golongan memerlukan.
Pengurus Kanan Jabatan Pembangunan Komuniti, Komunikasi Strategik dan Teknologi Maklumat YWP, Datin Dr. Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata, kerjasama bersama pihak media akan membantu pihaknya memperluaskan maklumat bantuan yang dilaksanakan.
“Kita harap akan ada sesi temu bual dan bual bicara bagi mempromosikan lagi bantuan-bantuan yang ada melalui Utusan Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas melawat pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. di sini, semalam.
YWP melaksanakan pelbagai bantuan merangkumi lima aspek iaitu pendidikan, ekonomi, sosial, agama dan teknologi.
Mengulas lanjut, Ida Harlina berkata, bantuan yang dilaksanakan oleh YWP bertujuan meningkatkan taraf kehidupan.
Jelasnya, bantuan dilaksanakan juga meliputi setiap lapisan umur iaitu dari bayi sehingga warga emas dan boleh dimohon semua rakyat Malaysia yang beralamat di Wilayah Persekutuan.
“Antaranya, bantuan khas persekolahan yang mana dilaksanakan setiap tahun untuk 15,000 ke 20,000 pelajar asnaf di seluruh Wilayah Persekutuan.
“Namun, bantuan kami tidak seperti agensi lain kerana kami beri bantuan melalui sekolah bagi memastikan pelajar hadir ke sekolah.
“Selain itu, YWP juga memberikan biasiswa kepada pelajar asnaf iaitu bagi yang cemerlang akan mendapat RM1,500 untuk setahun dan untuk pelajar lain pula RM80 ke RM90 setiap bulan sehingga tamat persekolahan,” jelasnya.
Tambahnya, YWP kini merancang untuk membuka pusat asuhan kanak-kanak di Kuala Lumpur bagi membantu ibu bapa yang terbeban dan tidak mempunyai wang untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat penjagaan. – UTUSAN









