ALOR GAJAH: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan memasyhurkan Masjid Nur Jannatul Bahri di Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara di sini kepada Masjid Sultan Ibrahim sempena nama Seri Paduka.
Seri Paduka berangkat tiba di masjid berkenaan pada pukul 1.03 tengah hari tadi.
Ketibaan Seri Paduka disambut Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh serta barisan kepemimpinan kerajaan negeri.
Seri Paduka juga berkenan menandatangani plak perasmian pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim di pekarangan masjid tersebut.
Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan cek bakul makanan sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor kepada Ab. Rauf dan menerima mengadap Ahli-ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Seri Paduka kemudian menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah yang diimamkan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil. – UTUSAN











