WHO: Empat industri punca 2.7 juta kematian di Eropah

WHO: Empat industri punca 2.7 juta kematian di Eropah

HANS Kluge dedah empat industri utama bunuh sekurang-kurangnya 7,000 orang di rantau ini setiap hari.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COPENHAGEN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyalahkan empat industri utama iaitu tembakau, makanan ultra-proses (UPF), bahan api fosil dan alkohol kerana menjadi punca 2.7 juta kematian direkodkan setahun di Eropah.

Pengarah WHO rantau Eropah, Hans Kluge turut mendakwa industri terbabit menghalang dasar awam yang boleh menjejaskan keuntungan mereka.

“Empat industri ini membunuh sekurang-kurangnya 7,000 orang di rantau ini setiap hari,” katanya dalam kenyataan. 

Gabungan sektor industri ini menjadi sebilangan kecil syarikat multinasional, membolehkan mereka mengguna kuasa ketara ke atas politik dan undang-undang untuk menghalang dasar kepentingan awam yang boleh menjejaskan margin keuntungan, menurut WHO dalam laporannya.

Taktik industri termasuk mengeksploitasi golongan rentan melalui strategi pemasaran, mengelirukan pengguna dan membuat dakwaan palsu mengenai manfaat produk mereka.

“Taktik ini mengancam kepentingan kesihatan awam dan menghalang negara daripada mencapai sasaran kesihatan mereka,” katanya.

WHO berkata, pihak industri juga gagal menghalang usaha untuk menangani penyakit tidak berjangkit seperti kardiovaskular, kanser dan diabetes.

Hampir 60 peratus orang dewasa dan satu pertiga kanak-kanak di Eropah mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, menurut WHO.

Data terkini dari 2017 menunjukkan satu daripada lima kematian disebabkan oleh penyakit kardiovaskular dan kanser di Eropah adalah akibat daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat.

WHO menggesa setiap negara untuk menguatkuasakan peraturan lebih kukuh mengenai pemasaran produk tidak sihat, amalan monopoli dan melobi.

“Kesihatan masyarakat awam mesti diutamakan sebelum keuntungan,” kata Kluge.- AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN