Warga Vietnam didakwa tiada permit kerja sah, salah guna pas lawatan sosial - Utusan Malaysia

Warga Vietnam didakwa tiada permit kerja sah, salah guna pas lawatan sosial

SEBAHAGIAN daripada 43 orang warganegara Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, hari ini atas dua pertuduhan iaitu bekerja di negara ini tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seramai 43 orang warganegara Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Bahau di sini, hari ini atas dua pertuduhan bekerja di negara ini tanpa permit sah dan menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh terdiri daripada 23 lelaki dan 20 wanita yang merupakan pekerja sarang burung walit tidak memahami dengan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua mereka didapati menggunakan pasport yang dikeluarkan kepada mereka sudah tamat tempoh sah laku.

Kesalahan itu dikesan dilakukan oleh tertuduh antaranya bermula tahun 2019 sehingga awal tahun ini. Kesalahan itu juga dikesan dilakukan kira-kira pukul 5 petang, 8 Jun lalu di Pusat Perniagaan Bahau.

Oleh yang demikian, kesemua tertuduh didapati  melanggar peraturan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan lokasi yang sama, kesemua mereka tanpa sebarang alasan yang munasabah didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan bekerja.

Oleh itu kesemua mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri tidak menawarkan sebarang wang jaminan buat kesemua tertuduh yang diwakili peguam S. Selvaakumaran dan Chaucer CK Gan.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Julai depan bagi sebutan semula kes dan lantikan jurubahasa.

Sementara itu, difahamkan, majikan pekerja warga asing berkenaan iaitu lelaki berusia 48 tahun akan didakwa dalam masa terdekat di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pendatang tanpa izin.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook dilaporkan berkata, sepasukan polis telah membuat risikan di sekitar kawasan premis bermula 4 Jun lalu dan hasil risikan mendapati terdapat pergerakan seorang lelaki keluar masuk ke kawasan premis dalam keadaan mencurigakan.-

“Pada 8 Jun, kira-kira pukul 5 petang, polis telah membuat serbuan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat pekerja asing warga Vietnam sedang bekerja. Premis ini telah beroperasi setahun yang lalu dan telah diubah suai sebagai tempat tinggal serta tempat memproses sarang burung walit,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×