BATU PAHAT: Seorang wanita yang baru bersara sebagai penjawat awam kerugian sebanyak RM310, 995.78 apabila ditipu seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku pada 6 Mei lalu apabila wanita berusia 60 tahun itu menerima panggilan yang mendakwa dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan semua aset serta wang miliknya akan dibekukan.
Bimbang dengan tindakan itu, mangsa telah menyerahkan maklumat akaun perbankan selepas diminta suspek yang kononnya untuk membantu siasatan oleh Jabatan Audit Negara.
“Pada 19 Mei, mangsa turut membuat pembayaran ke dalam dua akaun berbeza sebanyak RM66,050 sebelum mendapati berlaku penyusutan sebanyak RM244,945.78 dalam akaun pada 3 Jun baru-baru ini.
“Jumlah itu menjadikan keseluruhan wang persaraannya hilang sebanyak RM310, 995.78,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – UTUSAN









