KUALA LUMPUR: Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengajak veteran tentera menyertai Program My Heroes Vending Machine bagi membantu mereka menjana sumber pendapatan baharu.
Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus berkata, program itu diinspirasikan daripada Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kerajaan yang memfokuskan strategi menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40.
Di bawah program tersebut, katanya, veteran ATM akan terlibat sebagai pengusaha mesin layan diri (vending machine) secara sewaan dengan kadar sewaan yang lebih kompetitif.
Katanya, ia bermatlamat menambah sumber pendapatan veteran selain mereka menikmati pencen dan pekerjaan semasa agar dapat keluar daripada kumpulan B40 atau golongan miskin bandar.
“Perkara ini juga memberi ruang kepada persatuan-persatuan dan koperasi veteran untuk menjana sumber pendapatan secara konsisten tanpa perlu bergantung kepada sumbangan derma semata-mata.
“Ia juga membantu ekosistem sosioekonomi veteran sama ada secara individu, persatuan-persatuan veteran serta koperasi yang diselia oleh veteran ATM,” katanya pada Majlis Pelancaran Program My Heroes Vending Machine di KD SRI GOMBAK di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Zambery berkata, inisiatif itu digerakkan oleh Koperasi Saudagar Veteran Berhad (KOSAVET) yang ditubuhkan di bawah Akta Koperasi 1993 atas saranan mantan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang susulan kejayaan penganjuran Ekspo Usahawan Veteran TLDM 2022. – UTUSAN










