USIM hasilkan figura 3D bantu ajar solat OKU penglihatan - Utusan Malaysia

USIM hasilkan figura 3D bantu ajar solat OKU penglihatan

FIGURA 3D Celik Solat OKU Penglihatan yang dihasilkan USIM bagi membantu pengajaran solat khusus untuk komuniti OKU penglihatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta sejarah apabila menghasilkan ukiran figura tiga dimensi (3D) yang membantu pengajaran solat dan dibangunkan khas untuk komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan di negara ini.

Pertama seumpamanya di Malaysia, penciptaan Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan itu merupakan hasil penyelidikan Smart Manufacturing and Advanced Renewable Technology Research Group (Smart RG) dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, figura 3D berkenaan dihasilkan melalui gabungan teknologi cetakan 3D dan imbasan 3D.

“Melalui teknik sentuhan, figura yang mewakili rukun fi’li (perbuatan) dibangunkan supaya dapat dikenal pasti oleh OKU penglihatan namun ia turut bermanfaat untuk semua golongan.

“Figura ini akan dipamerkan di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur sebagai salah satu inisiatif infak dan dakwah USIM kepada seluruh masyarakat di Malaysia terutama komuniti OKU penglihatan,” katanya.

Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan itu telah diperkenalkan sempena Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 yang berlangsung di Atrium, Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur, semalam dan turut dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×