JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mahu pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian seorang pegawai polis pengiring baginda didakwa mengasari seorang pemandu e-hailing, baru-baru ini.
Tunku Mahkota Ismail menegaskan, baginda tidak menyokong sebarang perbuatan atau tindakan mengugut yang dilakukan oleh mana-mana pihak.
“Merujuk kejadian yang berlaku di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan Polis Diraja Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titah baginda dalam kenyataan, semalam.
Tunku Mahkota Ismail turut bertitah agar semua pihak menghormati siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titah baginda.
Baru-baru ini, seorang pemandu e-hailing berusia 46 tahun membuat laporan polis mendakwa ditumbuk di bahagian kepala oleh pengiring seorang kenamaan ketika berada di Hotel St. Regis, Kuala Lumpur.
Difahamkan, pengadu telah mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami ‘soft tissue injury’.
Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik serta pengadu tidak mahu memanjangkan kes. – UTUSAN









