KOTA TINGGI: Memasuki hari kelima nelayan di sekitar Sungai Rengit, dekat sini tidak dapat turun ke laut mencari rezeki gara-gara pencemaran minyak yang berlaku akibat pelanggaran kapal di sebuah pelabuhan di Singapura, baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd. Ali berkata, seramai 183 nelayan yang menjadi ahli persatuan itu terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan pesisiran pantai di Sungai Rengit pulih bagi mengelak lebih banyak kerugian dialami selepas disedari ahlinya sejak Isnin lalu.
“Kita sedar apabila nampak tompokan hitam terapung di laut, terus tarik jaring dan balik ke jeti. Sampai sahaja di jeti, baru kami nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai. Esoknya memang kami semua tidak turun ke laut.
“Kesan minyak ini kalau terkena peralatan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf, buang sahajalah. Jaring ada simpulan yang kita panggil buku untuk mata jaring, kena minyak memang tidak hilang. Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, hasil tiada sebab berbau,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, hari ini.
Rosli berkata, kejadian tumpahan minyak pernah terjadi 10 tahun lalu dan kesannya sangat teruk kepada komuniti nelayan dengan lebih 30 bot nelayan terkena minyak sehingga ke dek apabila arus kuat dan berombak membawa air yang tercemar minyak ke muara sungai yang menempatkan bot mereka.
“Tompokan minyak ini mengikut arus, apabila pasang akan masuk ke muara sungai, dan surut akan tersangkut dan apabila panas di kawasan pantai akan nampak berketul-ketul minyak. Kalau ikutkan pelanggaran kapal itu berlaku di Singapura, tetapi boleh sampai ke sini.
“Peralatan nelayan bukan murah, jaring yang siap sehelai harganya mencecah RM360. Biasa nelayan laut dalam macam kami akan pakai 60 helai. Jadi boleh kira ruginya kalau semua peralatan itu rosak terkena minyak,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk kampung Sungai Rengit, Mohd. Ezuan Shafie, 42, berkata, tumpahan minyak yang berlaku di perairan Sungai Rengit amat menjejaskan sumber rezeki mereka.
“Kita nelayan risau, bukan sahaja untuk turun laut kerana takut peralatan rosak, malah risau juga dengan kehidupan laut yang menjadi sumber utama kami yang terkenal dengan lobster di perairan ini.Pada masa ini sudah lima hari tidak ke laut, kita nak lihat pusingan tumpahan minyak sebanyak mana yang merapat ke pesisir pantai,” katanya. – UTUSAN










