JOHOR BAHRU: Seorang warga emas mengaku pernah dikasari dan diugut bunuh oleh anak lelakinya yang merupakan bekas banduan semata-mata tidak mendapat wang untuk membeli dadah.
Wanita berusia 64 tahun itu juga pernah dibiarkan berjemur dan tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah hanya kerana ketagihan anaknya berusia 30-an tidak dipenuhi.
Kesengsaraan yang dialami itu membuatkannya terpaksa melaporkan perbuatan anaknya di Balai Polis Kangkar Pulai dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) baru-baru ini sebelum anaknya itu diberkas dan dibawa ke pusat pemulihan di Selangor.
“Pelbagai penderitaan terpaksa mak cik lalui, bayangkan wang hasil titik peluh bekerja sebelum ini dirampasnya untuk mendapatkan bekalan dadah, malah hampir setiap hari dia mengugut dan mengasari mak cik.
“Semakin lama, sikapnya bertambah buruk dan hilang pertimbangan apabila bertindak mengasari dengan menolak dari belakang hingga terjatuh selain mengancam keselamatan mak cik. Dia semakin melampau apabila membunuh kucing kami. Malah, dia menyatakan kami juga akan menerima nasib yang sama jika tidak ikut kehendaknya,” katanya ketika ditemui di sini.
Wanita itu kemudian berpindah dari rumah di Pulai kerana tidak mahu dijejaki dan dikesan oleh anak keduanya itu setelah menderita diperlakukan dengan kasar.
Ibu kepada 12 anak itu tidak menyangka tinggal bersama anak lelakinya itu ibarat ‘neraka dunia’ dan bertambah parah setelah suaminya meninggal dunia pada November 2022.
“Selepas bercerai, dia tidak tinggal bersama kami, cuma anak lelakinya mak cik jaga dari kecil. Dia mula tinggal bersama kami ketika suami mak cik jatuh sakit. Apabila pak cik meninggal dunia pada November 2022, dia mula tunjuk dirinya yang sebenar, dia mula menjual barang elektrik di rumah seperti peti sejuk, televisyen, penapis air, ketuhar gelombang mikro dan kipas angin bagi mendapatkan wang membeli dadah,” katanya sambil memberitahu tidak mampu berbuat apa-apa walaupun telah menegur perbuatannya.
Ketika ini dia yang mengalami anemia tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan pencen suami yang merupakan bekas pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya memiliki ramai anak, namun lima anak diserahkan kepada kenalan dan saudara-mara sejak kecil atas faktor kesempitan hidup. Saya tidak mahu membebani anak dan lebih gemar mengurus diri serta cucu di bilik sewa.
“Sewa bulanan bilik ini sebanyak RM450 dan atas faktor kewangan, cucu lelaki saya tidak bersekolah sejak Mei tahun lalu dan ini juga menjadi kebimbangan saya” katanya. – UTUSAN










