Tiga sahabat kayuh basikal tua 300km

Tiga sahabat kayuh basikal tua 300km

MOHD. Ariff Bidin (kanan), Mohd. Nasir (tengah) dan Mohd. Sarif bersedia memulakan kayuhan basikal klasik sejauh 300 kilometer ke Johor Bahru, Johor dari Ampangan, Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tiga sahabat, termasuk seorang warga emas berusia 63 tahun, yang merupakan peminat basikal klasik di negeri ini, sanggup mengayuh basikal itu sejauh 300 kilometer (km) ke Johor Bahru dari Ampangan di sini.

Menurut Pengerusi Kelab Basikal Tuo Soghomban (KBTS), Mohd. Ariff Bidin, 43, dia bersama dua orang lagi rakan, Mohd. Nasir Wahab, 63, dan Mohd. Sarif Mohd. Yusuf memulakan kayuhan hari ini bagi menyertai acara Kayuhan Di Tepian Selat Tebrau, Johor Bahru, Johor pada 29 Jun ini.

Katanya lagi, ini kali pertama mereka bertiga mengayuh basikal sejauh itu dan ia dilakukan semata-mata minat terhadap basikal klasik atau dipanggil basikal tua.

“Kami akan membuat kayuhan merentas tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sejauh 300 kilometer. Memandangkan ada acara anjuran Kelab Basikal Klasik Selat Tebrau nanti kami ambil peluang dengan berkayuh basikal ke sana.

“Memang ini sejarah dalam hidup kami berkayuh sejauh ini, sebelum ini hanya sampai ke Muar. Memang kali ini agak mencabar dan ia akan mengambil masa sehingga empat hari dengan kami akan berhenti di beberapa tempat.

“Walaupun nampak usang, basikal kami masih kuat serta mempunyai ketahanannya, insya-Allah kami akan selamat sampai ke destinasi,” katanya ketika ditemui di Ampangan di sini.

Mohd. Nasir pula berkata, pada usia 60-an, dia berharap berada pada tahap kesihatan yang baik bagi menjayakan misi itu nanti.

“Secara peribadi tiada apa-apa persiapan khusus, cuma sebelum ini memang sudah biasa menyertai acara kayuhan basikal klasik antaranya jarak dari Seremban ke Klang, Selangor dan Seremban ke Port Dickson.

“Basikal juga dalam keadaan baik, saya berdoa kepada Allah SWT agar berada dalam keadaan kesihatan yang baik,” katanya lagi.

Bagi Mohd. Sarif pula, dia berharap kayuhan ke Johor Bahru itu pastinya menguji fizikal dan mental selain memberikan pengalaman berharga buat mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN