MELAKA: Kenaikan berterusan harga lembu dan kambing tidak menghalang umat Islam menunaikan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha kali ini.
Ia diakui sendiri Pengarah Program Korban Berkelompok Masjid Lama Batang Tiga, Shaari Mohd. Sani bahawa kenaikan itu tidak memberi kesan kerana ramai penduduk sekitar mendaftar untuk menyertai korban.
Katanya, pihaknya menerima sambutan amat menggalakkan sebelum pendaftaran ditutup, yang mana sebanyak tujuh ekor lembu dan seekor kambing dikorbankan tahun ini.
“Tahun lalu untuk satu bahagian lembu sebanyak RM750 tetapi tahun ini berlaku kenaikan sebanyak RM50 menjadikan satu bahagian RM800. Tetapi ini tidak menghalang orang ramai untuk menyertai program berkelompok.
“Walaupun berlaku kenaikan sebanyak 20 peratus, namun ia tidak menghalang umat Islam untuk menunaikan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Dr. Abu Bakar Mohamed, 65, berkata, tahun lalu dia menyertai program berkelompok sebanyak dua bahagian, namun kali ini membeli seekor lembu dengan harga RM5,600.
“Alhamdulillah saya bersyukur dapat menjalani ibadah korban seekor lembu untuk satu keluarga.
“Walaupun harga lembu kali ini mahal tetapi pada saya sebagai umat Islam, demi tuntutan syariat perlu juga berkorban dan terima kasih kepada pihak pengurusan yang menguruskan,” katanya. – UTUSAN










