Cuaca panas tidak jejaskan hasil ternakan

Cuaca panas tidak jejaskan hasil ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Baka haiwan diternak di negara ini mampu menyesuaikan diri dan tidak akan terjejas dengan cuaca panas yang sedang melanda kebanyakan negeri ketika ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, usaha itu selari dengan cuaca sebuah negara beriklim khatulistiwa dan mengalami panas serta hujan sepanjang tahun.

Jelasnya, industri terbabit juga mengambil langkah-langkah memastikan ternakan mempunyai air minuman mencukupi dan menyimpan ternakan di kawasan teduh atau kandang bagi mengelakkan stres haba.

“Sehingga kini, tiada penurunan pengeluaran akibat perubahan suhu iklim dunia atau perubahan suhu ketara di Malaysia.

“Para penternak di seluruh negara dari semasa ke semasa diingatkan DVS untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan lebih prihatin terhadap haiwan ternakan masing-masing” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan, Malaysia dijangka berdepan dengan cuaca panas hingga Julai ini susulan peralihan Monsun Timur Laut dan fenomena El Nino melanda dunia.

Situasi itu menyaksikan beberapa kawasan terutama Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah berdepan dengan cuaca panas tersebut.

Selain Malaysia, beberapa negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan seperti Filipina, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam, India dan Bangladesh turut menghadapi cuaca panas ekstrem de­ngan suhu mencecah 40 hingga 45 darjah Celsius.

Mengulas lanjut, DVS berkata, penternak di negara ini bagaimanapun disaran sentiasa memantau keadaan haiwan ternakan pada musim panas.

Menurutnya, langkah itu dengan memastikan ternakan ditempatkan di persekitaran yang sesuai dan mempunyai teduhan.

Seterusnya, sentiasa memantau keadaan semasa ternakan untuk tanda-tanda penyakit dan stres haba serta mengambil tindakan segera sekiranya ternakan memerlukan rawatan.

“Selain itu, menyediakan stok makanan dan minuman yang mencukupi. Ini kerana sewaktu musim kemarau kemungkinan rumput-rumput yang menjadi sumber makanan kepada ternakan di padang tidak tumbuh atau mati serta takungan air kering.

“Penternak-penternak sepatutnya sedar akan perkara ini memandangkan fenomena cuaca panas ini berlaku hampir setiap tahun.

“Adalah menjadi kewajipan kepada penternak-penternak mengambil langkah-langkah yang munasabah bagi memastikan kebajikan ternakan terjaga walaupun sewaktu musim cuaca yang melampau seperti musim kemarau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×