BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengaku pasukannya melanggar protokol kerana mengikat seorang lelaki Palestin yang cedera di hadapan kenderaan mereka ketika serbuan di bandar Jenin, Tebing Barat.
IDF mengesahkan kejadian itu selepas ia dirakam dan dikongsikan dalam media sosial.
Menurut kenyataan IDF, lelaki itu cedera ditembak ketika serbuan, yang didakwa sebagai suspek.
“Pagi ini (Sabtu), semasa operasi untuk menangkap suspek dikehendaki di kawasan Wadi Burqin, suspek melepaskan tembakan ke arah tentera IDF.
“Ketika berbalas tembakan, seorang daripada suspek cedera dan berjaya diberkas. Disebabkan melanggar arahan dan prosedur operasi standard, suspek diambil oleh pasukan dan diikat di atas kenderaan.
“Tindakan pasukan dalam video insiden itu tidak mematuhi nilai IDF. Insiden itu akan disiasat dan ditangani dengan sewajarnya,” dakwa IDF.
Keluarga lelaki itu berkata, mereka meminta ambulans untuk merawat mangsa, tetapi tentera bertindak mengikatnya pada bonet jip dan membawanya pergi.
Mangsa akhirnya dipindahkan ke Bulan Sabit Merah untuk menerima rawatan.
Sejak perang Gaza tercetus, terdapat lonjakan keganasan di Tebing Barat dengan sekurang-kurangnya 480 rakyat Palestin terbunuh di wilayah itu, termasuk di Baitulmuqaddis Timur.- AGENSI










