WASHINGTON: Semasa kemuncak pandemik Covid-19, tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa pernah melancarkan kempen rahsia yang dikatakan untuk menentang pengaruh China yang semakin meluas di Filipina.
Operasi sulit itu tidak pernah dilaporkan sebelum ini. Namun, siasatan Reuters mendapati, ia bertujuan untuk menimbulkan keraguan mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin yang dibekalkan oleh China.
Melalui akaun internet palsu yang bertujuan untuk menyamar sebagai warga Filipina, usaha propaganda tentera berubah menjadi kempen anti-vaksin.
Siaran media sosial itu mengecam kualiti pelitup muka, kit ujian dan vaksin pertama yang tersedia di Filipina, iaitu Sinovac.
Reuters mengenal pasti sekurang-kurangnya 300 akaun di X, yang sepadan dengan penerangan dikongsi bekas pegawai tentera AS yang biasa dengan operasi Filipina.
Hampir kesemuanya dicipta pada tahun 2020 dengan tanda pagar #Chinaangvirus – bermaksud ‘China adalah virus’.
“Covid-19 datang dari China dan vaksin juga datang dari China, jangan percaya China,” tulis satu hantaran yang dimuat naik pada Julai 2020.
Usaha anti-vaksin tentera AS bermula pada 2020 dan berkembang di luar Asia Tenggara sebelum ia berakhir pada pertengahan 2021.
Pentagon dilaporkan mengguna gabungan akaun media sosial palsu pada pelbagai platform untuk menyebarkan ketakutan terhadap vaksin China dalam kalangan umat Islam, sewaktu virus membunuh puluhan ribu orang setiap hari.
Bahkan, antara strategi lain yang turut digunakan adalah mendakwa vaksin buatan negara itu mengandungi gelatin babi, yang dilarang digunakan bagi umat Islam.
Program ketenteraan itu bermula sewaktu pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan berlanjutan sehingga pemerintahan Joe Biden, lapor Reuters.
Pegawai Kanan Jabatan Pertahanan mengakui tentera AS terlibat dalam propaganda rahsia untuk memperlekehkan vaksin China di negara membangun, namun enggan memberikan butiran lanjut.










