PEKAN: Tasik Chini yang merupakan tasik semula jadi kedua terbesar negara sedia menerima kedatangan pelancong dalam dan luar negara menerusi pelbagai kemudahan disediakan di situ oleh Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC).
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Leong Yu Man berkata, Tasik Chini kini mengetengahkan pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism) disediakan PPTC dalam usaha menarik kembali orang ramai ke lokasi pelancongan terbabit.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited memulihkan kembali imej Tasik Chini yang pernah gemilang suatu ketika dahulu.
“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dan ambil berat tentang Tasik Chini. Kita percaya orang ramai juga menunggu untuk mengembalikan kegemilangan Tasik Chini.
“Tasik Chini sebenarnya sudah sedia menerima kedatangan pelancongan dengan kemudahan disediakan PPTC. Ada penginapan, ada aktiviti yang lebih kepada edu-tourism.
“Kita juga turut menggalakkan mana-mana universiti, institusi pengajian dan sekolah datang ke Tasik Chini untuk lebih mendalami dan mempelajari tentang alam sekitar dan pemulihan Tasik Chini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Program Sesi Libat Urus: Penyediaan Pelan Pembangunan Pengurusan Tasik Chini Rizab Biosfera anjuran Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) bertempat di PPTC di sini hari ini.
Sebanyak 18 agensi dan empat wakil dari perkampungan Orang Asli terlibat dalam perbincangan terbabit yang memfokuskan kepada canaran dan isu dihadapi untuk membangunkan semula Tasik Chini.
Yu Man juga berkata, dengan taklimat dan pembentangan dari penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) itu diharap dapat membantu menyediakan pelan pembangunan Tasik Chini yang dijangka siap pada Oktober ini.
Tambahnya lagi, untuk memulihkan kembali imej Tasik Chini juga memerlukan masa yang panjang justeru meminta pihak PTNP memainkan peranan selain mengharapkan kerjasama komuniti setempat untuk mempromosikan Tasik Chini.
“Penyediaan pelan ini melibatkan tindakan untuk jangka masa pendek dan panjang. Harap agensi-agensi terlibat khususnya PTNP untuk membangunkan cadangan yang diperlukan,” ujarnya.
Sementara itu, antara produk edu-tourism yang terdapat di Tasik Chini antaranya pengujung akan didedahkan dengan gaya hidup dan budaya orang asal, alam semula jadi seperti tumbuhan dan haiwan sekitar pusat pelancongan itu selain pengetahuan mengenai pengurusan dan keselamatan dalam air. – UTUSAN










