JELI: Polis merampas 2,170 biji pil yaba selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lakota, di sini semalam.
Serbuan pukul 10 pagi itu turut merampas 98 biji pil Erimin 5 dan lima liter air ketum.
Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Saari Yaacob berkata, kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia 22 hingga 45 tahun.
Menurutnya, saringan awal air kencing ke atas kesemua suspek mendapati mereka positif dadah Methamphetamine.
“Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Jun ini,”katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Saari memberitahu, siasatan awal turut mendapati suspek pertama berusia 45 tahun mempunyai 17 rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.
“Suspek kedua berusia 22 tahun mempunyai enam rekod dadah dan satu rekod jenayah serta suspek ketiga berusia 31 tahun yang juga abang kepada suspek kedua mempunyai 11 rekod lampau membabitkan dadah dan jenayah.
“Manakala suspek keempat merupakan seorang wanita berusia 31 tahun mempunyai enam rekod dadah dan satu rekod jenayah,”katanya.-UTUSAN










