RANTAU PANJANG: Taktik menyorokkan 860,000 batang rokok seludup yang disembunyikan dalam sebuah lori terbongkar selepas diserbu anggota pengkuat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di Kampung Dalam, Tumpat di sini pada 2 Jun lalu.
Serbuan pukul 6.30 petang itu melibatkan rampasan bernilai RM813,560 termasuk cukai.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa serbuan dilakukan mendapati lori tersebut ditinggalkan dalam keadaan terkunci di kawasan yang terpencil.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan rokok seludup yang bernilai RM236,500.
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini dengan meninggalkan lori yang berisi rokok di kawasan terpencil.
“Lori tersebut kemudian akan dibawa oleh sidiket lain pula. Kita percaya rokok-rokok seludup itu untuk pasaran tempatan di sekitar negeri ini,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, siasatan lanjut masih lagi dijalankan untuk mengenalpasti sama ada rokok ini dibawa masuk melalui pangkalan haram sekitar atau luar Kelantan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-UTUSAN











