SKM lulus pembiayaan TMP RM85.9 juta bantu koperasi berdaya maju - Utusan Malaysia

SKM lulus pembiayaan TMP RM85.9 juta bantu koperasi berdaya maju

R. RAMANAN menyerahkan replika kunci rumah kepada pembeli sebagai simbolik Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Nesa Delima, Rantau, di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM85.9 juta pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP) kepada koperasi yang menjalankan produk berskala besar telah diluluskan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga April lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, inisiatif pembiayaan itu diwujudkan bagi membantu dan memudahkan koperasi dalam penyediaan dana melaksanakan projek berdaya maju.

“Sehingga 31 Mei lalu, terdapat sebanyak 16,000 koperasi berdaftar dan kami harap agar kesemua koperasi ini akan lebih berdaya saing.

“Bagi menggalakkan perkembangan koperasi, kementerian menawarkan pembiayaan TMP dengan amaun maksimum sebanyak RM30 juta secara bercagar serta pembiayaan tanpa cagaran adalah sebanyak RM200,000” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Taman Nesa Delima, Rantau, di sini, hari ini.

Sementara itu sempena program itu, Ramanan berkata, pihak Koperasi Nesa Pelbagai Bhd. telah berjaya menyiapkan satu projek perumahan di atas tanah seluas kira-kira tiga hektar yang telah dipindah milik kepada koperasi itu pada tahun 1980.

“Pihak koperasi telah melakukan pemulihan bagi mendapatkan kelulusan perancangan terhadap infrastruktur, jalan dan saliran seterusnya berjaya mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Nilai pada Mac 2019, sebelum mendapat kelulusan menamakan projek perumahan.

“Projek ini mempunyai 68 unit rumah terdiri daripada 62 unit rumah berkembar dan enam unit banglo dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM30 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, buat kali pertama Konferen Koperasi India (KKI) akan diadakan bagi memberi hala tuju serta bantuan kepada koperasi komuniti India untuk lebih berdaya maju.

“Pada tahun 2023, jumlah koperasi kaum India di seluruh negara adalah berjumlah 419 koperasi yang melibatkan seramai hampir 250,000 orang anggota koperasi dengan jumlah aset mencecah sehingga RM1.7 bilion manakala jumlah modal syer atau yuran koperasi pula telah mencecah RM619 juta,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×