Skim caruman masih dalam kajian

Skim caruman masih dalam kajian

KAEDAH baharu pelantikan tetap adalah penambahbaikan terhadap sistem saraan perkhidmatan awam untuk memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan masih membuat kajian berhubung skim lantikan tetap penjawat awam bercarum bagi menggantikan skim pencen di bawah Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Lantikan Tetap Bercarum merupakan satu kaedah baharu di bawah SSPA, iaitu lantikan tidak berpencen dan pengambilan pada tahun ini adalah secara kontrak, hanya bersifat sementara sebelum penetapan kaedah baharu lantikan tetap dimuktamadkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Dahlan Wan Abdul Aziz berkata, kajian yang sedang dijalankan ini tidak akan menjejaskan pencen pegawai awam sedia ada.

“Sebaliknya, ia terpakai kepada lantikan baharu sahaja. Namun, perincian caruman masih dalam pertimbangan kerajaan.

“Untuk itu, pada masa ini lantikan adalah berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Baru-baru ini tular mengenai Skim Pencen Baharu yang mendakwa semua kakitangan kerajaan baharu akan berada dalam skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tiada lagi skim pencen.
Bagaimanapun, kenyataan tular itu disahkan adalah palsu.

Wan Ahmad Dahlan berkata, kaedah baharu pelantikan tetap ini adalah penambahbaikan terhadap sistem saraan perkhid­matan awam untuk memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.

Pada masa sama, ia demi menjaga kebajikan pegawai awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

Inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa kajian sekali gus dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Kerajaan sebelum ini memaklumkan, inisiatif itu selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

Menjelang 2040, jumlah pencen yang terpaksa ditanggung kerajaan akan mencecah RM120 bilion setahun jika sistem saraan sedia ada tidak dipinda.

Dalam persidangan Dewan Rakyat lalu, memetik kenya­taan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, kos sistem saraan penjawat awam berasaskan caruman adalah 4.5 kali ganda lebih rendah berbanding skim pencen sedia ada.

Katanya, sekiranya sistem saraan baharu itu dilaksanakan, ia dapat memberi penjimatan dan kelegaan kepada beban fiskal kerajaan dalam tempoh jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN