JOHOR BAHRU: Kelemahan sistem pengagihan daging korban menyebabkan warga asing di negeri ini mengambil kesempatan dengan menyerbu lokasi pengagihan daging berkenaan.
Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia (Perimau), Mohd. Ridhwan Othman, 45, berkata, keadaan itu menyebabkan umat Islam tempatan yang layak mendapat pengagihan tersebut tidak menerimanya.
Dakwanya, warga asing tersebut datang secara berkumpulan dan membawa pulang sehingga 10 kilogram daging walaupun tinggal serumah.
“Mereka juga didapati menyebarkan maklumat pengagihan daging korban kepada rakan termasuk dari luar kawasan supaya tidak ketinggalan bagi mendapatkannya. Perkara ini berlaku kerana kelemahan sistem pengagihan daging korban, sepatutnya pengurusan mewujudkan sistem berkupon,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial beberapa gambar dan video warga asing beratur bersama-sama penduduk tempatan untuk mendapatkan daging korban yang didakwa berlaku di surau dan masjid di sekitar bandar raya ini.
Ridhwan berkata, kaedah tersebut bagi memastikan pengagihan lebih adil dapat dilaksanakan dan tiada golongan yang kurang berkemampuan ketinggalan.
Sementara itu, Md. Jian Ahmad Pariman, 52, mendakwa sistem menguruskan agihan daging korban tidak mengikut prinsip keadilan sehinggakan kadang-kadang tidak disampaikan kepada golongan kurang berkemampuan atau fakir miskin, sebaliknya mereka yang berkemampuan pula mendapatnya.
“Bagi atasi masalah ini, pihak penganjur disaran mengamalkan sistem agihan korban yang telus, sistematik dan dapat mencapai matlamat secara amanah dan adil selaras kehendak syariah,” katanya.
Nordin Ayub, 42, pula berkata, ramai lagi penduduk di kawasan bandar raya ini yang memerlukan dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat.
“Sekarang ni orang yang duduk bandar macam saya, nak beli ayam atau daging pun berkira-kira kerana sudah mahal, kena berkira-kira juga sebelum membeli kerana khuatir terkesan perbelanjaan bulanan,” katanya. – UTUSAN










