MOSCOW: Sistem pertahanan udara Russia mendakwa memusnahkan 36 dron yang dilancarkan Ukraine, menyasarkan beberapa wilayah di barat negara itu, semalam.
Kementerian Pertahanan Russia hari ini berkata, 15 dron dimusnahkan di wilayah Kursk yang bersempadan dengan Ukraine dan sembilan di wilayah Lipetsk, beberapa ratus kilometer di selatan Moscow.
Menerusi kenyataan di aplikasi Telegram, kementerian itu berkata, empat dron dimusnahkan setiap satu di wilayah Voronezh dan Bryansk di barat Russia, serta masing-masing dua di wilayah Oryol dan berdekatan Belgorod.
Menurut Gabenor wilayah Lipetsk dan Brayansk, tiada kecederaan atau kerosakan meluas akibat daripada serangan itu.
Pihak Russia biasanya tidak mendedahkan tahap kerosakan penuh yang dicetuskan oleh serangan Ukraine.
Setakat ini, tiada respons segera daripada Ukraine mengenai kenyataan Moscow.
Sebelum ini, Kyiv berkata, serangan terhadap infrastruktur tentera, pengangkutan dan tenaga Russia adalah sebagai tindak balas kepada tindakan Moscow di wilayah Ukraine sejak permulaan pencerobohan pada 2022.- AGENSI










