RM2,500 untuk ‘lesen terbang’ motosikal?

RM2,500 untuk ‘lesen terbang’ motosikal?

ADA pihak didakwa menawarkan `lesen terbang' motosikal dengan bayaran RM1,500 hingga RM2,500.. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RM1,500 hingga RM2,500 ditawarkan kepada individu yang ingin mengambil lesen motosikal dengan mudah atau dikenai sebagai ‘lesen terbang.’

Seorang penunggang motosikal yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40-an mendakwa, terdapat beberapa pusat latihan memandu di Selangor menawarkan pemilikan ‘lesen terbang’.

Aktiviti haram itu dikatakan dijalankan secara rahsia oleh anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan individu yang bekerja di pusat latihan memandu terlibat.

Ahmad yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu mendakwa, anggota JPJ terbabit akan meng­hubungkan individu yang ingin mengambil lesen secara mudah dengan pusat latihan memandu.

“Selepas itu, kerani di pusat latihan memandu akan me­nerangkan segala proses serta pembayaran apabila sudah daftar.

“Harga yang ditawarkan bagi memiliki lesen motosikal adalah sekitar RM 1,500 hingga RM2,500 ,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin akhbar melaporkan Kementerian Pengangkutan mengesan masih terdapat pihak menawarkan ‘lesen terbang’ kepada orang ramai yang mahu mendapatkan lesen memandu tanpa menduduki sebarang ujian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sehubu­ngan itu menegaskan, pihaknya akan memantau perkara tersebut dalam memastikan industri institut memandu bebas daripada gejala negatif berkenaan.

Katanya, kementerian akan bertindak tegas termasuk membatalkan permit mana-mana institut memandu yang dikesan terlibat dalam sindiket yang menawarkan ‘lesen terbang’.

Dakwa Ahmad lagi, individu yang mengambil lesen secara haram ini tidak perlu hadir untuk mengambil ujian komputer malah terus lulus ujian tersebut.

“Individu yang mengambil tawaran tersebut tidak perlu susah-susah untuk datang ke pusat ujian komputer dan hanya perlu mengambil buku ujian memandu kerana terdapat nombor siri di buku yang akan didaftarkan atas namanya.

“Ujian komputer itu juga diambil oleh orang lain untuk individu tersebut dan terus mendapat lesen L,” katanya.

Ahmad mendakwa, memang terdapat kerjasama secara te­rancang oleh anggota JPJ dan pusat latihan memandu tersebut ketika ujian pemanduan berlangsung.

“Individu yang mengambil tawaran ‘lesen terbang’ ini ha­nya perlu datang pada waktu latihan dan saringan ujian JPJ yang terakhir bagi memenuhi syarat. Berjaya atau tidak, anggota JPJ tersebut tetap meluluskan ujian tersebut.

“Anggota JPJ tersebut sudah mengetahui individu yang akan mengambil lesen terbang. Memang terdapat senarai individu yang akan mengambil lesen terbang yang diuruskan oleh sekolah memandu tersebut,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN