RM12 juta baik pulih 88 sekolah agama Johor - Utusan Malaysia

RM12 juta baik pulih 88 sekolah agama Johor

MOHD. FARED Mohd. Khalid (dua dari kiri) bersalaman dengan pelajar berkeperluan khas pada Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah PIJ 2024 di MSAB, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerja membaik pulih 88 buah sekolah agama yang rosak di negeri ini akan dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan RM12 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, peruntukan itu termasuk RM2 juta yang disalurkan oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ) bagi kerja membaik pulih kerosakan infrastruktur, pendawaian dan menukar bumbung serta siling.

“Kerja baik pulih ini melibatkan sekolah agama di semua daerah dalam negeri ini. Antara yang paling banyak terlibat adalah di Kota Tinggi.

“Kita mesti selesaikan kerja-kerja ini tahun ini juga, tidak boleh dibiarkan lebih lama kerana khuatir jika dibiarkan, kerosakan akan menjadi lebih teruk,” katanya selepas menyampaikan Bantuan Amal Jariah PIJ 2024 di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), di sini hari inI yang turut dihadiri Pengurus Besar PIJ, Datuk Abdul Rahman Salleh.

Mohd. Fared turut memberitahu, PIJ telah menyumbangkan 160 buah televisyen pintar bernilai RM200,000 kepada 160 sekolah agama di negeri ini.

“Selain itu, kita turut memberikan 10 unit peranti braille elektronik dikenali sebagai ‘eBrelle Laptop for the Blind’ untuk kegunaan pelajar berkeperluan khas penglihatan di MSAB dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Fared turut menerima replika cek berjumlah RM2 juta sumbangan Tabung Waqaf Rakyat Johor yang akan turut digunakan untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih sekolah agama di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN