JOHOR BAHRU: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menempelak tindakan individu yang cuba mengheret penganjuran ‘Program Permohonan Kewarganegaraan’ ke kancah sempit perkauman.
Sheikh Umar yang juga Naib Pengerusi DAP Johor berkata, tuduhan itu tidak berasas dan berniat mengganggu gugat keharmonian negara.
“Saya sedih apabila mendapati ada pihak menangguk di air yang keruh dengan mengheret isu ini ke kancah sempit perkauman. Beberapa kupasan dalam media sosial cuba mengelirukan isu ini dengan mengaitkan ia sebagai salah guna kuasa untuk memberi kewarganegaraan kepada bangsa asing.
“Lebih melampau, ada yang menggambarkan ia tindakan menjual kedaulatan negara. Hal ini tidak sepatutnya timbul kerana kita (wakil rakyat) hanya bertindak sebagai jambatan pemudah cara kepada rakyat.
“Sekali lagi saya tegaskan, isu ini bukan baharu. Apatah lagi dihadapi oleh pejabat-pejabat wakil rakyat. Melainkan anda seorang wakil rakyat pemalas atau jenis yang ‘memilih bulu’ tiap kali menerima kes aduan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan kontroversi program yang ingin dianjurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang pada 30 Jun ini.
Sheikh Umar berkata, dakwaan tidak berasas itu tidak sepatutnya timbul kerana penganjuran program berkenaan tidak mengikis patriotisme masyarakat sebagai rakyat Malaysia.
“Program yang dianjurkan oleh ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng itu tidak melanggar undang-undang dan apa yang mereka lakukan adalah beri penerangan serta panduan kepada rakyat yang berdepan isu kewarganegaraan. Isu ini bukan rahsia, bukan juga isu terpencil atau perkara luar biasa, saya juga pernah mengendalikan isu seumpama ini semasa menjadi wakil rakyat kawasan Paloh,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mendesak supaya ‘Program Permohonan Kewarnegaraan’ yang mahu dianjurkan Pusat Khidmat DUN Stulang itu dibatalkan atau pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kerana dikhuatiri boleh mengundang ketidaktenteraman awam dan sensitiviti masyarakat. – UTUSAN











