PRK uji keserasian parti dalam Kerajaan Perpaduan - Utusan Malaysia

PRK uji keserasian parti dalam Kerajaan Perpaduan

AHMAD Zahid Hamidi ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah di Melang, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) di beberapa negeri merupakan medan menguji keserasian kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi memenangkan calon mereka yang bertanding.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keserasian itu bermula dengan PRK Pelangai dan ia terbukti apabila jentera parti lain juga turun padang setiap hari bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di situ.

Menurutnya, kini latihan itu diterjemahkan pula apabila semasa kempen PRK Sungai Bakap apabila jentera UMNO turut bekerja sebaik mungkin bagi membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Dr. Joohari Ariffin.

“Semasa di Pelangai, calon parti komponen lain, DAP, PKR dan Amanah, Mohamad Sabu (Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu) hari-hari turun bantu kita. 

“Di PRK Pulai dan Simpang Jeram, Johor, jentera parti UMNO kerja keras untuk menangkan calon Amanah, begitu juga DAP dan PKR, Mohamad Sabu berterima kasih kepada kita, ini menunjukkan susunan kerja jentera cukup berstruktur, inilah semangat setia kawan antara kita.

“Sekarang kempen PRK Sungai Bakap, yang bertanding bukanlah calon UMNO tetapi kita bekerja membantu kawan-kawan kita dari parti lain, jentera (UMNO) Perlis, Kedah, Perak Utara bekerja seolah-olah calon dari UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Pilah di di Melang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menafikan agenda Islam dan Melayu yang sering diperjuangkan UMNO terancam sejak berada di bawah Kerajaan Perpaduan malah menurutnya pelbagai peruntukan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tujuan itu. 

“Di Parlimen, Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) duduk sebelah kanan, ada juga Nga Kor Ming (Naib Pengerusi DAP), apabila saya bawa kertas Kabinet termasuk dari Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, tidak ada seorang pun yang bantah sebaliknya beri sokongan.

“Saya bukan mahu memuji mereka. Saksi hidup mata kepala saya sendiri, mereka tetap menghormati UMNO, BN,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian sebanyak 200 kuota anak-anak Negeri Sembilan untuk mengikuti kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China melalui Malaysia-China Institute (MCI).

Menurutnya, sebanyak 5,125 kuota diberikan oleh Kerajaan China kepada pelajar Malaysia untuk menjalani latihan berkaitan TVET bagi jangka pendek dan sederhana.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN