PM mahu pembinaan ECRL disegerakan - Utusan Malaysia

PM mahu pembinaan ECRL disegerakan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya pelaksanaan kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665 kilometer, disegerakan.

Perdana Menteri berkata, perkara itu telah beliau maklumkan kepada kontraktor utama pembinaan infratruktur tersebut iaitu China Communications Construction Company (CCCC) dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan memberikan segala kerjasama untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan pembinaan dan kejayaan projek tersebut.

“Projek infrastruktur ini melibatkan (peruntukan) RM50 billion lebih dan saya percaya ia akan menunjukkan kesediaan kita mencatatkan pembangunan lebih merata kerana ECRL ini menjamin pertumbuhan rantau yang dianggap lebih kurang daripada segi persaingan dan tidak memiliki keupayaan untuk bersaing melainkan disediakan prasarana secukupnya.

“Prasarana disediakan termasuk Kelantan, Terengganu dan Pahang, ia akan memberikan ruang supaya kita boleh menyaksikan pertumbuhan ekonomi lebih segar di negeri-negeri tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek ECRL di Gombak, Selangor yang turut disertai oleh Perdana Menteri China, Li Qiang, hari ini.

Kerja-kerja pembinaan ECRL sepanjang 665 kilometer berjalan lancar dengan 67 peratus pembinaannya telah siap sehingga kini, walaupun di peringkat awal pembangunan dan pelaksanaannya berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Projek infrastruktur mega yang menjadi bukti keakraban antara Kuala Lumpur dan Beijing itu dijangka siap menjelang akhir 2026 dan akan mula beroperasi pada January 2027.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga meminta supaya CCCC mengambil beberapa perhatian termasuk jaminan kerjasama membabitkan kontraktor tempatan dan Bumiputera dalam projek berstatus mega tersebut.

“Ia juga melibatkan pekerja-pekerja, perunding dan pembekal yang mencukupi dari syarikat negara (tempatan) dan penyertaan Bumiputera selayaknya,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri juga menekankan soal pengoperasian dan penyelenggaraan projek tersebut yang menjadi kebimbangan dalam sesebuah projek mega.

Oleh demikian, beliau berkata, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. Tan Sri Mohd. Zuki Ali telah mengadakan perbincangan dengan CCCC dan MRL bagi memberikan fokus untuk mula merancangkan langkah mengatasi isu berkenaan.

“Pada masa sama, saya berterima kasih kepada mereka (CCCC) atas usaha untuk memberikan latihan dan memindahkan teknologi selain memberikan peluang kepada pemain tempatan untuk didedahkan kepada teknologi baharu serta meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Projek infrastruktur mega itu dimiliki oleh MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), manakala CCCC bertindak sebagai kontraktor utama untuk projek itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×