Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia lawat Malaysia esok - Utusan Malaysia

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia lawat Malaysia esok

VOLKER TURK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada esok atas jemputan Kerajaan Malaysia.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, Volker Türk akan disertai pegawai-pegawai kanan dari Pejabat di Geneva dan Bangkok, dalam lawatan sulung ke Asia Tenggara atas kapasiti jawatan itu.

Kata Wisma Putra, selain Malaysia, beliau akan melawat Thailand dan Laos.

“Semasa di Malaysia, Volker Türk akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan mesyuarat dengan Menteri
Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa anggota Kabinet lain.

“Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) serta anggota-anggota masyarakat sivil yang berkaitan,” katanya hari ini.

Wisma Putra memaklumkan, lawatan kerja Volker Türk adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman
mengenai hak asasi manusia untuk dinikmati bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Jelasnya, Malaysia merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia yang aktif dan sentiasa memainkan peranan yang konstruktif dalam Majlis tersebut.

Pada masa sama, Malaysia dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia untuk tiga penggal iaitu 2006-2009, 2010-2013 dan 2022-2024.

“Tempoh keanggotaan semasa dalam Majlis akan berakhir pada 31 Disember depan.

“Malaysia membentangkan dengan jayanya Laporan Negara Keempat mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Majlis Hak Asasi Manusia pada Januari lalu,” katanya.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Michele Bachelet pernah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 2019.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB
pada Disember 1993 untuk membantu Negara-Negara Anggota PBB mempromosi pembangunan mampan dan memperkasa kerjasama antarabangsa.

Inisiatif ini dalam usaha meningkatkan kesedaran dan melindungi hak asasi manusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN