KUANTAN: Penghuni Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di sini teruja apabila pertama kali menerima sumbangan seekor lembu untuk ibadah korban dalam tempoh 12 tahun penubuhan rumah berkenaan.
Pengerusinya, Muhammad Fauzi Ramli memaklumkan, sebelum ini mereka hanya menerima sumbangan berupa daging.
“Bila dapat tahu ada pihak sedekah lembu, kami sangat terharu kerana dalam beberapa tahun rumah kebajikan beroperasi, ini kali pertama orang beri (ternakan) untuk (dijadikan) ibadah korban.
“Jadi tahun ini, tujuh daripada 14 penghuni rumah kebajikan ini berpeluang menjalani ibadah korban menerusi lembu yang disumbangkan oleh syarikat Rasnur Travel and Tours,” katanya ketika ditemui di Rumah Kebajikan Orang-Orang Tua Seri Permai di Tanah Putih Baru di sini.
Penghuni rumah kebajikan itu, Yusof Mat, 70, menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana terpilih menjalani ibadah korban dan berharap sumbangan seumpama itu dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
“Kami tidak boleh buat sendiri korban sebab tiada kemampuan, jadi bila ada yang macam ini (sedekah seekor lembu), kami ucapkan terima kasih banyak-banyak. Mungkin tahun akan datang ada lagi rezeki dan kami harap tidak dipinggirkan,” katanya.
Seorang lagi penghuni terpilih, Wan Mohamed Wan Muda, 70, pula menyuarakan rasa terharu kerana ada pihak sudi menyumbangkan lembu untuk mereka turut merasai melakukan ibadah korban.
“Rasa terharu sebab tidak pernah dapat benda seperti ini. Kalau hendak buat kena keluar duit sendiri, tapi ia percuma bagi untuk kami orang-orang tua di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Mutawif Rasnur Travel and Tours, Abdul Ghani Abdul Rahman, 50, berkata, pihaknya menyumbangkan seekor lembu kepada tujuh penghuni di rumah jagaan terbabit bagi memberi kegembiraan kepada mereka.
Menurutnya, kebiasaannya orang ramai menyedekahkan daging lembu yang sudah diproses, berbanding memberi peluang kepada warga emas terbabit merasai sebagai peserta dalam ibadah korban.
“Kita yakin ini merupakan pembuka jalan kepada sahabat kita yang lain untuk sama-sama mengambil perhatian atau cakna kepada warga tua yang mana terdapat banyak rumah jagaan di sekitar kuantan yang boleh kita sedekah haiwan ternakan untuk dijadikan korban,” katanya. – UTUSAN










